:
Perutusan%20CEO


Bismillahirrahmanirrahim

Perutusan Akhir Tahun 2016 daripada Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Al-Islah

Assalammualaikum

Alhamdulillah, 2016 sudah hampir melabuhkan tirainya. 2017 bakal menjelma tidak lama lagi. Saya bagi pihak pengurusan Pusat Pendidikan Al-Islah (PPAI) 2016, ingin mengucapkan jazakumu Allahu bikhairil jaza’ kepada semua para guru, pendidik, murabbi dan juga semua staf Sekolah Rendah Al-Islah (SRAI), Sekolah Menengah Al-Islah (SMAI) dan Maahad Tahfiz Al-Islah (MTAI) atas segala pengorbanan masa, tenaga dan buah fikiran bagi mendidik dan memastikan suasana dan prasarana pendidikan anak-anak kita di PPAI sepanjang tahun 2016 ini berada dalam keadaan yang terbaik. Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan yang tidak terhingga kepada semua para waris atas sokongan, bantuan, dorongan serta teguran sepanjang PPAI beroperasi pada tahun 2016.

Alhamdulillah, sepanjang 2016, SRAI telah menerokai dan melakar pelbagai sejarahnya tersendiri. Buat pertama kalinya, pelajar Tahun 6 pada tahun ini telah kita bawa “berkampung” di Hotel Swiss Inn, Sungai Petani, selama 2 hari 1 malam pada bulan Ogos yang lalu bagi menyuntik semangat juang dan menyedarkan tugas dan tanggungjawab kecemerlangan dalam hidup di dunia ini bagi mempersiapkan diri untuk dunia dan akhirat. Bagi memantapkan penghayatan amal Islam dalam kalangan pelajar-pelajar lain pula, Unit Tarbiah SRAI telah mengambil inisiatif menjalankan kajian soal selidik terperinci tetang penjagaan solat anak-anak kita di luar waktu sekolah. Ia adalah langkah pertama untuk kita mencapai tahap tinggal-solat-fardu sifar dalam kalangan anak-anak SRAI. Kerjasama yang amat erat dalam kalangan para guru SRAI bagi menghidupkan suasana pembelajaran yang selesa dan kondusif amat dirasai dengan terserlahnya pelbagai seni hiasan dan kata-kata perangsang yang baru di perkarangan bangunan SRAI.

Bilik makmal komputer dan teknologi maklumat juga diberi suntikan baru pada tahun ini hasil titik peluh dan usaha gigih para guru yang diberi tanggungjawab untuk menghidup dan merancakkan lagi penggunaan prasarana tersebut. Kita dapati penggunaannya kini silih berganti dan amat memberangsangkan. Walaupun begitu, apa-apa sumbangan daripada para waris dan dermawan untuk terus menaik taraf makmal tersebut amat-amatlah dialu-alukan. Pelajar SRAI kita juga berjaya menempa sejarah kecemerlangan apabila memenangi johan acara tulisan khat anjuran pihak Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah yang berlangsung di Village Mall, Sungai Petani, Kedah. Sepanjang 2016 ini juga, SMAI juga tidak ketinggalan bagi melonjakkan lagi pencapaian aktivisme sosial, akademik dan syahsiah para pelajar dengan pelbagai aktiviti yang telah dilaksanakan. Buat julung kalinya pelajar kita didedahkan dengan pelbagai aktiviti silang budaya dengan pelajar-pelajar berbangsa Cina hasil usaha sama dengan Sekolah Menengah (Persendirian) Sin Min, Sungai Petani. Antara aktiviti yang telah kita usahakan bersama adalah pertandingan sukan persahabatan, persembahan budaya dan pertandingan debat antara sekolah. Mudah-mudahan anak-anak kita ini dapat meneruskan usaha da’wah bil-hal ini di masa hadapan apabila mereka dewasa dan masuk ke dalam masyarakat kelak.

Para guru yang mengajar subjek Tingkatan 5 (SPM) juga kelihatan begitu bersemangat dan berlumba-lumba untuk memberikan yang terbaik untuk anak-anak didik mereka. Tidak cukup dengan jadual kelas anjalnya di separuh akhir tahun ini dan juga kelas-kelas tambahan di waktu petang, malam, hujung minggu dan waktu cuti, anak-anak kita yang terpilih juga diberi galakan untuk menjadi Guru Muda bagi membantu rakan sebaya memahami dan mempelajari subjek-subjek tertentu. Pada tahun ini juga, di bawah seliaan IKRAM-MUSLEH, SMAI telah menghantar 2 orang tenaga pengajar yang terpilih bagi mengikuti kursus Murabbi Qudwah. Kursus tersebut menggembeling perkongsian dalam kalangan para pendidik terlatih dan terpilih dari sekolah rangkaian IKRAM-MUSLEH seluruh Malaysia bagi memantapkan lagi sentuhan tarbiah untuk anak-anak didik kita dimasa depan. Pada tahun ini juga, pelajar SMAI kita berjaya menempa sejarah cemerlang apabila memenangi Anugerah Ma’al Hijrah kategori Johan pertandingan mengarang esei Bahasa Arab anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK).

Para guru Tahfiz kita juga tidak ketinggalan memberikan yang terbaik untuk anak-anak didik mereka. Walaupun MTAI (sepenuh masa) baru menjangkau usia setahun, Alhamdulillah, 7 orang (daripada 31 orang pelajar rintis) telah berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk dalam masa setahun. Kesemua pelajar MTAI sepenuh masa akan diserap semula ke SRAI/ SMAI pada tahun 2017. Mudah-mudahan anak-anak tahfiz ini dilapangkan Allah hati mereka untuk dapat terus cemerlang di bidang apa pun yang mereka ceburi kelak. Di samping menumpukan aktiviti harian dengan hafazan al-Quran, para pelajar MTAI juga tidak ketinggalan dalam aktiviti ko-kurikulum seperti memanah dan bersukan serta turut serta bersama masyarakat sepanjang bulan Ramadan sebagai imam jemputan untuk solat Tarawih. Antara jemputan yang diterima pada tahun ini adalah daripada surau At-Taqwa, Bandar Amanjaya dan surau Al-Munawwarah, Taman Arked.

Akhir kalam, saya mendoakan agar para waris yang tidak putus-putus memberikan pelbagai bentuk sokongan kepada PPAI diberikan kesihatan yang baik, kesejahteraan keluarga, keamanan hidup, keselamatan yang berkekalan dan dimurahkan rezeki. Mudah-mudahan, segala hasil kecemerlangan yang mampu saya catat dan ringkaskan di atas, kita semua beroleh saham akhirat atas sumbangan yang diberikan. Moga segala sumbangan tenaga, buah fikiran dan wang-ringgit yang tuan/ puan hulurkan kepada PPAI bagi menjaya dan memartabatkan Pendidikan Islam akan diganjari dan diberkati oleh Allah SWT.

Sekian, Wassalam.

Yang diberikan Amanah,

Hj Amir Nur Rashid b Wagiman